Monday 13 February 2017

Petikan Akhbar



Petikan Akhbar Utusan yang bertajuk 'Keperluan Kaunselor Kian Mendesak'  pada tarikh 11 November 2014, membuka mata semua masyarakat mengenai bidang kaunseling kepada persepsi yang lebih baik.





Dalam akhbar tersebut menyatakan bahawa:

"Tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang masih hilang hingga kini, dan
MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, telah membuka mata pelbagai pihak bahawa
pentingnya keperluan kaunselor bagi memberi perkhidmatan sokongan ke arah
kesejahteraan komuniti.

Keprihatinan kerajaan terhadap anggota keluarga mangsa penumpang dan kru
pesawat, dengan memberikan khidmat kaunseling bagi menangani trauma, secara
tidak langsung telah membawa kesan besar, yang menuntut masyarakat membuat
penyesuaian dalam cara berfikir, bertindak, dan membuat keputusan agar ia diuruskan
dalam cara terbaik

Selama ini, ramai tidak menyedari peranan kaunselor, sedangkan saban waktu negara
kita bergelut dengan permasalahan masyarakat yang melibatkan aspek-aspek psikologi
dan emosi seperti kemurungan, tekanan perasaan, kesedihan, pergaulan bebas,
penyalahgunaan dadah dan gangsterisme.

Permasalahan ini sedikit sebanyak telah mengganggu produktiviti organisasi serta
masyarakat.
Mengapakah gejala sosial seperti ini masih terus berleluasa? Adakah kerana kurangnya
kesedaran dan rasa tanggungjawab individu serta masyarakat sendiri, atau masyarakat
tidak mempercayai kemampuan kaunselor untuk memberi bantuan kepada mereka
sekiranya tiada penyelesaian yang boleh dilakukan oleh ahli keluarga dan saudara
terdekat?
Dalam konteks profesion kaunselor itu sendiri, mereka dilihat sebagai model sosial
yang baik dan positif, yang memainkan peranan besar dalam menentukan
kesejahteraan komuniti melalui perkhidmatan yang dihulurkan.
Walaupun diakui bahawa tidak mungkin kaunselor dapat menyelesaikan kesemua
masalah yang dihadapi, tetapi sekurang-kurangnya mereka berkeupayaan untuk
membantu masyarakat memilih arah serta sumber yang bersesuaian bagi mengubah
corak kehidupan.
Ada juga dalam kalangan kita menganggap sesi kaunseling boleh diadakan walaupun
hanya di kedai kopi bersama orang yang kita percayai tanpa sebarang kelulusan dalam
bidang psikologi.
Hakikatnya, realitinya hanya kaunselor yang berdaftar sahaja mempunyai kelayakan
tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim,
ketika ditemui dalam Seminar Kaunseling Lembaga Kaunselor 2014 di Institut Sosial
Malaysia baru-baru ini berkata, dalam suasana yang penuh dengan cabaran, kaunselor
perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu yang khusus serta berkualiti.

“Hanya dengan cara tersebut, segala permasalahan dalam masyarakat akan dapat
ditangani dengan baik dan berkesan. Kecekapan seorang kaunselor dalam
mengendalikan profesionnya akan diadili oleh sesetengah individu secara keseluruhan
terhadap profesion kaunselor itu sendiri.
“Begitu juga sebaliknya, apabila ketidakcekapan berlaku, maka seluruh profesion
kaunselor akan dikaitkan dengan tanggapan negatif dan sudah pasti ia membentuk
stereotaip yang tidak menggalakkan.
“Justeru, seluruh profesional dalam bidang ini perlu bersedia dan mencari jalan untuk
memperbaiki pencapaian dan keberkesanan kaunseling bagi meningkatkan
kepercayaan masyarakat terhadap profesion ini,” ujarnya,
Beliau menambah, setiap kaunselor perlu menerapkan pendekatan kebersamaan
(togetherness) dalam urusan penyampaian perkhidmatan.

Ia boleh dicapai melalui kerjasama berpasukan dalam bentuk jaringan kerja yang
produktif dan efektif antara pengamal kaunselor dengan pengamal dalam bidang
kesihatan mental supaya dapat menangani pelbagai permasalahan yang dihadapi.
Menurutnya, kompetensi dan komitmen yang khusus dalam bidang kaunseling dari
pelbagai organisasi dan pertubuhan sukarela, dapat digabungkan untuk memperoleh
tenaga holistik dan berkesan dalam usaha membawa transformasi kepada masyarakat.
“Pendekatan ini merupakan cara terbaik untuk memberikan pendedahan kepada
masyarakat tentang kepentingan peranan kaunselor dalam membantu menangani
permasalahan sosial masa kini.

“Ia juga bagi meningkatkan ketrampilan kaunselor dalam menyampaikan perkhidmatan
kaunseling yang bersesuaian dengan konteks semasa di Malaysia,” katanya,
Menurut Rohani lagi, permasalahan lain seperti masalah perkahwinan, rumah tangga,
hubungan suami isteri hinggalah kepada permasalahan dalam dunia pekerjaan meliputi
masalah komunikasi di pejabat, motivasi pekerja, serta gangguan emosi, memerlukan
khidmat mereka untuk memulihkan anggota masyarakat.

Bukan sahaja di sekolah dan hospital, malah khidmat mereka mendapat tempat dalam
kebanyakan organisasi sebagai salah satu keperluan utama dalam melengkapkan
penyaluran perkhidmatan kepada kumpulan sasar masing-masing.
Dalam pada itu, statistik sehingga akhir Julai tahun ini, hanya 5,445 orang kaunselor
telah didaftarkan di bawah Akta Kaunselor 1998.

Lebih membimbangkan bilangan kaunselor tersebut dilihat tidak mampu menampung
kes-kes yang berlaku dengan nisbah 700 penduduk bagi seorang kaunselor.
Taburan penempatan kaunselor berdaftar juga berlaku ketidakseimbangan sangat
ketara kerana hampir 92 peratus daripadanya tertumpu kepada perkhidmatan awam
dan sekolah, serta selebihnya dalam sektor swasta serta badan bukan kerajaan(NGO).
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan kaunselor semakin
diperlukan tetapi kerajaan masih mengawal dan memantau perkhidmatan itu supaya
ianya dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar sahaja agar masyarakat tidak
dimudaratkan dengan perkhidmatan kaunseling bukan profesional.

Dengan adanya, Lembaga Kaunselor Malaysia diharap berperanan sebagai pemangkin
ke arah membantu kerajaan dalam usaha memberikan perkhidmatan kaunseling yang
terbaik dan seterusnya melahirkan masyarakat yang sejahtera". - Utusan Online.

No comments:

Post a Comment